Pemain bernilai RM 11 juta bakal tiba di JDT?
Najmi Iman
January 10, 2025 12:19 MYT
January 10, 2025 12:19 MYT
Juara 10 kali berturut-turut Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), dikhabarkan bakal menandatangani pemain kelahiran Paraguay, Oscar Romero, yang bernilai sekitar 2,500,000 USD (RM11 juta).
Berita perpindahan tersebut bertiup kencang di ruang media sosial yang mengaitkan pemain Botafago itu ke Harimau Selatan sebagai perancang tengah terbaru bagi memperkuat JDT menghadapi baki saingan liga terutamanya dalam kancah Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Namun, dikatakan pemain berusia 32 tahun itu sudah bergelar ejen bebas.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dua pemain berprofil tinggi dikhabarkan menyertai juara Piala FA 2024 itu menerusi laman X.
Berkemungkinan, bekas rakan sepasukan Jese Rodriguez juga, Jonathan Viera, turut berada dalam radar skuad kendalian Hector Bidoglio itu.
Begitupun, masih tiada pengumuman rasmi daripada pemain tersebut termasuk kelab itu berkenaan khabar angin itu.