Naturalisasi adalah realiti bola sepak moden, kata Pau Marti
Najmi Iman
November 19, 2024 11:34 MYT
November 19, 2024 11:34 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, mempertahankan pemain-pemainnya yang sudah bertungkus-lumus mencipta peluang ketika berdepan India dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 di Hydrabad, malam tadi.
India bangkit mengikat permainan 1-1 dalam pertembungan ke-33 kedua-dua pasukan di Stadium GMC Balayogi Gachibowli.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu bagaimanapun menjelaskan bahawa kehadiran pemain naturalisasi memberi impak berlainan tatkala membantu skuad negara bersaing secara lebih hebat.
"Saya berfikiran bahawa perlawanan semalam agak sukar. Separuh masa pertama kami masih mencari rentak permainan dan kami menunjukkan peningkatan di babak kedua.
"Secara keseluruhan, keputusan akhir seimbang meskipun kami melepaskan banyak peluang yang terhidang.
"Terdapat ramai pemain daripada pelbagai latar belakang dan ia sudah menjadi kebiasaan di samping bukanlah perkara yang berbeza dalam era bola sepak moden.
"Seperti yang dinyatakan dalam undang-undang, seseorang itu boleh bergelar rakyat Malaysia jika sudah menetap selama lima tahun. Dalam situasi ini pemain naturalisasi dibenarkan bermain untuk Malaysia kerana sudah berkelana di liga tempatan untuk tempoh yang lama.
"Ini adalah realiti terkini bola sepak bagi setiap pasukan kebangsaan seluruh dunia," katanya kepada wartawan ketika sidang media selepas perlawanan.