MSSM: Kejayaan edisi ke-63 bukti keberhasilan program pembangunan atlet Johor

Shaiful Shamsudin
October 20, 2023 21:00 MYT
Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Johor muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) selepas menuai 15 pingat emas, sembilan perak dan 10 gangsa di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.
Di sebalik dominasi Johor bagi edisi ke-63 ini, tumpuan khusus turut diberikan terhadap pelumba sensasi 110 meter berpagar, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, yang diangkat selaku Olahragawan MSSM 2023.
Juara bertahan, kontinjen Sabah, terpaksa akur berada di tempat kedua selepas memperoleh 12 pingat emas, 17 perak dan 15 gangsa, manakala kontinjen Selangor di tempat ketiga.
Antara faktor utama Johor mendominasi saingan olahraga kali ini adalah program pencarian bakat dan kesinambungan pasca daripada kejohanan antara daerah yang diperkasakan demi menempuhi MSSM di Paroi dan juga Sukan Sekolah ASEAN bulan depan.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan kejuaraan MSSM Ke-63 ini menjadi milik Johor.
"Keazaman ini bermula sejak tahun lalu apabila naib juara selepas tewas kepada Sabah pada saat-saat akhir.
"Pencarian bakat telah pun bermula dari sekolah rendah selain penganjuran pertandingan di luar musim agar atlet sentiasa mendapat latihan dan bimbingan selain program tersendiri," kata ketua kontinjem MSSM Johor, Abd Rahman Salleh.
#Olahraga #MSSM
;