OLAHRAGA
MSSM: Johor ungguli acara balapan
Saingan olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini bagaikan pentas pengenalan buat kontinjen Johor apabila satu demi satu acara utama menjadi milik pelari mereka.
Terbaru, kuartet 4x100 meter Johor mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas dengan catatan 40.97 saat, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan dalam saingan di Paroi hari ini.
Gandingan Daniel Alonso, Hazriq Cik Mat Kilau, Danish Nabil dan Danish Iftikhar itu muncul peserta terpantas ke garisan penamat, sekali gus mengetepikan cabaran juara bertahan, Sabah, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Iklan
Lebih manis buat Johor apabila Danish Iftikhar turut memenangi acara 100 meter lelaki dengan mengatasi pelari Sabah, Pengiran Aidil Rauf, yang memenangi pingat perak.
Kejayaan meraih pingat emas dalam dua acara itu membakar semangat Danish Iftikhar untuk mengungguli acara ketiganya, iaitu 200 meter lelaki, esok.
"Kami mempercayai sesama sendiri kerana ini acara kuartet," kata Danish Iftikhar kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis, selepas memenangi acara 4x100 meter lelaki.
"Kami percaya kepada guru, percaya kepada rezeki Allah, kami berlatih dengan bersungguh-sungguh dan kami nampak peluang kami di podium.
"Tetapi untuk menewaskan Sabah merupakan rezeki dan tawakal."
Sementara itu, kuartet 4x100 meter wanita Johor, yang dibarisi Mis Ezatul Shafieqa Sapawi, Nur Zalifah Halim, Anis Batrisyah Noriezad dan Nabilah Natasha Azisyan, turut meraih emas dan mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 47.95 saat.
Must-Watch Video