Luis Enrique mahu ke EPL tapi bukan sebagai pengganti Conte di Spurs

Muzaffar Musa
March 30, 2023 10:14 MYT
Bekas ketua jurulatih Sepanyol dan Barcelona, Luis Enrque, tidak menolak untuk bekerja di England tetapi menafikan akan menggantikan tempat Antonio Conte di Tottenham.
Luis Enrique meninggalkan Sepanyol selepas tamat kempen Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu, di mana La Roja disingkirkan Maghribi dalam pusingan 16.
Tempatnya kemudian digantikan oleh Luis de la Fuente, yang dinaikkan daripada skuad B-21 negara itu, sekali gus menyaksikan Luis Enrique kini menjadi buruan hangat kelab-kelab di Eropah.
Dengan reputasi sebagai jurulatih berprofil tinggi, dia kini sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Spurs, yang memecat Conte hujung minggu lalu.
Luis Enrique ketika ditemu bual mengakui berminat untuk menyertai Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi mendedahkan dia tidak akan menerima sebarang tawaran sehingga melepasi Julai depan dan Spurs juga tiada dalam senarainya.
"Saya mahu bekerja di England," katanya kepada Radio SER Gijon.
"Tetapi saya tidak lihat diri saya dalam EPL pada Julai depan kerana saya mahu ke sebuah pasukan yang saya boleh melakukan banyak perkara penting dan ia sesuatu yang amat sukar.
"Saya tidak akan menyertai pasukan EPL secara sembarangan," katanya.
#bola sepak #Tottenham Hotspur #Luis Enrique #Liga Perdana Inggeris
;