Liga Super: Kedah perlu beri tumpuan penuh baki perlawanan

Sinar Harian
October 25, 2023 20:43 MYT
Penyerang utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun, mahu semua pemain kelab itu memberikan tumpuan penuh dalam baki empat perlawanan Liga Super dalam usaha untuk merampas tempat kedua daripada Selangor FC.
Menurutnya, aksi menentang Negeri Sembilan (NS) FC di Stadum Darul Aman pada Sabtu ini disifatkannya sebagai sangat penting dan Sang Kenari tidak boleh keciciran mata dalam perlawanan tersebut.
"Mata penuh adalah sasaran kami dalam semua perlawanan yang akan dilalui selepas ini, sekali gus membuka ruang untuk aksi ke peringkat Asia pada musim depan," katanya.
KDA FC kini berada di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 47 mata menerusi 15 kemenangan, dua seri dan lima kekalahan selepas 22 perlawanan.
Jelas Ifedayo, yang telahpun meledak tujuh gol dalam saingan Liga Super setakat ini, dia mengharapkan penyokong Sang Kenari akan memenuhi Darul Aman dalam usaha untuk memberikan tekanan kepada NSFC.
"Saya bertekad memberikan aksi terbaik saya bersama rakan sepasukan seperti yang dirancang ketua jurulatih.
"Kedah perlu ambil kesempatan beraksi di depan penyokong sendiri walaupun beraksi pada sebelah petang. Kami perlu berwaspada supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh merugikan pasukan," ujarnya.
Lawan seterusnya yang bakal dihadapi oleh KDA FC selepas melayani skuad Hobin Jang Hobin itu adalah Kelantan FC pada 24 November, Selangor FC (2 Disember) dan Sabah FC (17 Disember).
-- Sinar Harian
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Kedah Darul Aman FC
;