Penyiar rasmi, Astro Arena, tetap menjanjikan rangsangan baru kepada peminat bola sepak tanah air menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga-M) 2024/2025, yang akan bermula 11 Mei ini.

Sejumlah 219 perlawanan dalam Definisi Tinggi (HD), termasuk 10 perlawanan pilihan dalam Definisi Ultra Tinggi (UHD), pastinya menjadi tarikan utama peminat sukan bola sepak negara serta memberikan akses untuk mengikuti setiap perlawanan tanpa sebarang caj tambahan.

Ini antara tawaran eksklusif dan istimewa yang diberikan kepada peminat bola sepak di samping pemantapan program serta kandungan dan analisis daripada pakar-pakar bola sepak yang berpengalaman.

Namun, sudah pasti ada sedikit kerisauan tentang kemampuan untuk menyajikan liputan menarik di sepanjang musim baru Liga-M nanti.

Terutama dengan kebimbangan lain yang tidak boleh dipandang ringan yang menimbulkan keresahan seluruh pemain dan peminat ketika ini.

Isu simbah asid dan samun terhadap pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dan Akhyar Rashid, serta tiba-tiba pula kereta bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim, dipecah cerminnya seolah-olah seperti satu 'tayangan perdana' buat promosi sebuah filem baru di pawagam-pawagam terpilih.

Namun, ia kedengaran seperti sebuah metafora atau hanya sebuah plot cerita yang dirancang. Bukan, bukan ya.... ini betul-betul terjadi dan bukan cobaan atau lakonan.

Justeru, sudah pasti aspek kawalan ketat perlu dilaksanakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan penguat kuasa stadium kepada penonton dan ini antara cabaran besar yang bakal menanti musim baru Liga-M.

Kerisauan tentang isu ini mungkin akan mengurangkan kehadiran penonton ke stadium atau mungkin mengambil sedikit masa untuk mereka melupakan igauan buruk dengan apa yang terjadi kepada Faisal Halim.

Apa pun musim baru Liga-M kini memenuhi permintaan penyokong bola sepak negara yang sering mempertikaikan mutu pengadilan dengan pelbagai tuduhan. Mereka meminta video bantuan pengadil (VAR), dah lama. Kini sah VAR akan digunakan musim ini. Cuma jangan cepat melatah atau mengutuk jika ada kelemahan di peringkat awal. Berilah satu tempoh 'grace period' untuk pengunaan sistem ini sebelum menjadi cekap. Bersabarlah untuk berdepan dengan proses gerak kerjanya yang mungkin belum sehebat Liga Perdana Inggeris (EPL), dan mengambil sedikit masa. Bersedialah untuk pulang lebih lewat dari waktu permainan biasa sebelum ini.

Pemain-pemain juga baru belajar dan faham waktu dan kesalahan yang sesuai untuk meminta pengadil menggunakan semakan VAR nanti dan bukan suka-suka sahaja.

Tambahan pula, pengunaan jumlah kamera untuk VAR sekitar enam buah sahaja dan kini memiliki hanya empat set yang boleh digunakan pada suatu masa. Jadi banyak-banyaklah bersabar ya.

Ini antara cabaran baru yang bakal dihadapi semua pihak tatkala bermulanya musim baru Liga-M nanti.

Bukan kerisauan tentang kemampuan Astro Arena untuk menyajikan liputan menarik di sepanjang musim baru Liga-M nanti, tetapi ada kebimbangan lain yang tidak boleh dipandang ringan.