Larian Rimba Kita: Astro sematkan kesedaran perubahan iklim
Shaiful Shamsudin
November 23, 2024 17:05 MYT
November 23, 2024 17:05 MYT
Astro Malaysia Holdings Berhad melalui inisitaif Astro Kasih ESG teruja dengan kejayaan Larian Rimba Kita yang memasuki edisi kedua yang berlangsung di Taman Wetlands Putrajaya, hari ini.
Acara itu bertujuan untuk menaikkan kesedaran terhadap perubahan iklim dengan menyaksikan kehadiran lebih 1,200 peserta yang sangat bersemangat dan bersatu hati untuk menyokong pemuliharaan alam sekitar serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Hujung minggu yang sangat meriah dengan Larian Rimba Kita dilangsungkan seawal jam 7:15 pagi dengan sesi pemanasan badan bersama Didi and Friends, Abang Paan, Tong Tong, Doo Doo dan Coco.
Larian sepanjang 5km menjadi cabaran kepada semua peserta dalam kategori terbuka lelaki, wanita, veteran, fun run dan tidak ketinggalan kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Astro Malaysia Holdings, Euan Smith, menzahirkan keterujaanya apabila melihat penyertaan luar biasa daripada peserta yang hadir bagi memeriahkan suasana.
"Seronok apabila disertai pelari dari Johor, Pulau Pinang termasuk dari Sabah dan Sarawak biarpun dalam kesibukan. Ia satu kenyataan yang jelas.
"Saya sangat gemar bekerja dengan Astro. Setiap hari mereka akan berusaha menghidangkan bahan dan memberi pengalaman menonton yang menakjubkan buat pelanggann.
"Apa yang lebih penting, selepas penganjuran Kem Badminton Astro, Klinik STL dan kini Larian Rimba Kita pula.
"Ini adalah penganjuran tahun keduanya dan saya harap ia diadakan selama berdekad lagi.
"Tumbuh-tumbuhan ini adalah paru-paru kita. Tanpanya kita tiada. Kita harus meluangkan masa untuk menjaganya, baik ketika hari bekerja mahupun hari berehat," katanya.