LaLiga: Szczesny perlu sabar tunggu penampilan pertama dengan Barcelona

Muzaffar Musa
October 6, 2024 11:59 MYT
Penjaga gol baru Barcelona, Wojciech Szczesny, tidak dapat melakukan penampilan pertamanya menentang Alaves dalam saingan LaLiga malam ini dan perlu menunggu sehingga tamat waktu rehat antarabangsa untuk melakukannya.
Barca menandatangani pemain kebangsaan Poland itu secara ejen bebas pada Rabu lalu, di mana penjaga gawang itu menarik keputusannya untuk bersara bagi membantu kelab itu susulan kecederaan jangka panjang Marc-Andre ter Stegen.
Ter Stegen mengalami kecederaan lutut serius ketika berdepan Villarreal bulan lalu dan Inaki Pena diturunkan sebagai pengganti dalam tiga perlawanan terakhir Barca, dengan yang terbaru tidak dibolosi ketika menewaskan Young Boys 5-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Ia kelihatan Pena akan terus diberikan kepercayaan sebagai benteng terakhir Barca menentang Alaves memandangkan ketua jurulatih, Hansi Flick, mengesahkan Szcesny tidak akan terlibat dengan perlawanan itu.
"Szczesny berada dalam keadaan baik dan dengan pengalaman, watak dan kualitinya, saya fikir dia adalah pilihan terbaik untuk kelab ini," kata Flick kepada wartawan.
"Amat bagus untuk memilikinya, dia akan banyak membantu kami tetapi dia tidak akan bersama kami menentang Alaves.
"Saya pasti selepas waktu rehat antarabangsa Szczesny akan menjadi pilihan kami. Baginya juga, bermain untuk Barca akan menjadi sesuatu yang hebat. Kami akan melihat bagaimana dia bermain dalam latihan. Kami mempunyai banyak masa."
#bola sepak #Barcelona #LaLiga #Wojciech Szczesny