LaLiga: Real Madrid kembali berkelebihan tujuh mata di puncak belasah Celta Vigo
Muzaffar Musa
March 11, 2024 11:43 MYT
March 11, 2024 11:43 MYT
Real Madrid kini berkelebihan tujuh mata di puncak LaLiga selepas menewaskan Celta Vigo 4-0 di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.
Penyudah jarak dekat Vinicius Junior meletakkan Madrid di depan menjelang ke bilik persalinan sebelum dua gol sendiri, masing-masing daripada penjaga gol Celta, Guaita, dan Carlos Dominguez, memberikan pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu kelebihan selesa menuju ke penghujung saingan -- tanpa khidmat bintang utama, Jude Bellingham, yang digantung perlawanan.
Pemain tengah Turkiye, Arda Guler, kemudian masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol pertamanya buat Madrid dalam waktu kecederaan untuk Los Blancos melebarkan rekod tanpa kalah kepada 22 perlawanan berturut-turut.
Sebelum ini, pasukan di tangga kedua, Girona, merapatkan jurang dengan Madrid kepada empat mata selepas menewaskan Osasuna 2-0 di laman sendiri semalam tetapi Madrid membuktikan mengapa mereka layak untuk terus berada di tangga teratas dengan penguasaaan hampir sempurna sepanjang perlawanan.