LA 2028: ISN sedia beri bantuan jika Azizulhasni belum mahu bersara
Muzaffar Musa
August 19, 2024 21:48 MYT
August 19, 2024 21:48 MYT
Institut Sukan Negara (ISN) sedia memberikan bantuan yang diperlukan oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, seandainya Olimpian negara itu mengubah pendirian untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, susulan kudrat The Pocket Rocketman tampak masih ditagih untuk pemburuan emas pertama negara dalam temasya terbesar dunia itu.
"Sekiranya kami perlu melakukan sebarang ujian atau pemeriksaan kesihatan (terhadap Azizulhasni) yang boleh memberikan maklumat secara lebih terperinci mengenai kesihatannya, ISN sentiasa bersedia," kata Ahmad Faedzal kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Mengenai keputusannya, ramai sedia maklum bahawa ia satu keputusan yang dia perlu berbincang dengan keluarganya dan sekiranya sebarang keputusan dibuat, ISN sedia membantunya."
Terdahulu, Azizulhasni mengesahkan Paris 2024 merupakan penampilan terakhirnya di pentas itu selepas turut beraksi dalam Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Begitupun, ia bukan pengakhiran yang dimahukan Azizulhasni rentetan insiden dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin di Velodrom Nasional Perancis.
Terkubur segala harapan untuk jelmakan kilauan emas pertama negara, jurulatihnya, John Beasley dikatakan ada memujuknya untuk kekal beraksi di LA 2028.
Bagaimanapun, Azizulhasni belum membuat sebarang keputusan dan mengulas mengenai kemampuan juara keirin dunia 2017 itu untuk beraksi pada usia 40 tahun, ini reaksi Ahmad Faedzal.
"Sekiranya kita pergi secara retrospektif mengenai situasi yang berlaku selepas Datuk Azizulhasni menjalani pembedahan jantung pada 2022, ramai yang skeptikal mengenai keupayaannya untuk kembali bangkit.
"Tetapi saya percaya dengan kemajuan program kecergasannya, dia dapat berada di tahap terbaik, namun sudah pasti ada beberapa situasi yang perlu kita lihat, terutama daripada segi tempoh pendek, tempoh sederhana panjang dan tempoh panjang," tambahnya.