Penyerang pinjaman Kedah Darul Aman (KDA), Muhammad Syafiq Ahmad, berkongsikan kisah jatuh dan bangun sepanjang kariernya ketika bergelar sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Dalam satu wawancara di segmen Santai Grab terbitan Astro gempak bersama Nafis Botak, dia menjelaskan individu yang banyak membantu dirinya ketika terlibat dalam kemalangan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 2020.

Syafiq turut berkongsi keprihatinan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada majikannya iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).






"Untuk pengetahuan, saya hampir nak berhenti main bola sepak, saya maklumkan pada isteri. Saya sanggup buat apa-apa kerja untuk gembirakan isteri saya semula.

"Dengan sokongan daripada Tunku Mahkota, dia mesej saya dan bertanyakan apa yang saya perlukan. Dia kata 'Pergi rehat baru kembali semula'.

"Dia kata 'Kau nak rehat sampai bila pun aku akan sokong, jika ada kekurangan dari segi apa pun', dia akan bantu.

"Saya bersyukur, mereka antara individu yang membantu saya bangun semula. Daripada keluarga , Tunku Mahkota dan rakan-rakan serta semua yang beri sokongan." katanya.





Terdahulu, dia terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kilometer 163.6 arah utara yang mengorbankan bayi lelakinya, ibu mertua dan seorang pembantu.

Syafiq kini dipinjamkan ke KDA daripada JDT untuk tempoh semusim bagi menghadapi Liga Super 2024/25.