Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik: Zaiman gembira raih emas acara lompat kijang
Ammar Hakim
December 1, 2023 21:05 MYT
December 1, 2023 21:05 MYT
Atlet pekak negara, Zaiman Megat Abu, meluahkan kegembiraan apabila usahanya membuahkan hasil apabila muncul juara dalam acara lompat kijang di Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik baru-baru ini.
Atlet negara itu melakar kejutan apabila dia berjaya memastikan pingat emas buat kontinjen negara menerusi acara lompat kijang sementara meraih pingat perak dalam acara lompat jauh.
Zaiman menyumbang pingat emas untuk lompat kijang menerusi catatan 14.32 meter, dan perak untuk lompat jauh dengan catatan 6.32 meter.
"Ini merupakan kali pertama saya menyertai kejohanan ini sangat gembira di atas pencapaian yang diperoleh," kata Zaiman menerusi Nadi Arena.
"Saya telah menceburi acara ini sejak enam tahun yang lalu, ternyata ia sangat menggembirakan kerana berjaya meraih pingat emas di pentas antarabangsa.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Dr Ong Shin Ruenn, percaya Zaiman memiliki potensi untuk mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang.
"Saya percaya dengan potensi dengan kemampuan Zaiman, kami akan membuat perancangan dan persiapan buat Zaiman untuk beraksi di pentas Deaflympics 2025 nanti," katanya.