Golongan diraja mampu selamatkan Kelantan FC


December 22, 2023 17:28 MYT
Sudah sampai masanya Kelantan FC mendapat bantuan golongan diraja dalam usaha memastikan pasukan itu kembali bangkit dalam kancah Liga Malaysia.
Pandangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid, yang melihat golongan diraja mampu menjadi penyelamat pasukan itu, sama ada melalui cara pemilikan atau dalam apa juga cara yang boleh dibincangkan.
"Sudah sampai masanya Kelantan juga harus dapat batuan golongan diraja. Sama ada melalui pemilikan atau macam mana.
"Seperti Johor Darul Ta'zim, Selangor dan juga Pahang. Sukan untuk rakyat," katanya melalui satu hantaran dalam laman Facebook miliknya.
Kelantan FC melalui detik suram selepas menamatkan saingan liga dengan rekod terburuk dalam sejarah apabila bolos 121 gol dan mengakhiri saingan di kedudukan ke-14 liga.
Mereka hanya mencatatkan dua kemenangan, dua seri dan 22 kekalahan dalam 26 perlawanan untuk mengutip lapan mata.
Skuad The Red Warriors itu berdepan dengan pelbagai kemelut musim ini, termasuk daripada segi kewangan apabila didakwa menghadapi masalah tunggakan bayaran gaji kepada pemain.
Ia menyebabkan ramai pemain utama angkat kaki dan pasukan itu terpaksa menggunakan pemain dari skuad pembangunan untuk beraksi dalam saingan Liga Super.
Malah, pasukan dari Pantai Timur itu juga masih belum mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super musim depan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan tempoh untuk Kelantan menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
--Sinar Harian
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Kelantan FC
;