Ketua jurulatih baru skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido, diyakini mampu untuk mengemudi skuad Harimau Muda dengan pendekatan berbeza berbanding pengendali sebelum ini.

Garrido merupakan penolong kepada E. Elavarasan dalam skuad B-23 negara sebelum dinaikkan pangkat selepas pengendali itu meletakkan jawatan.

Ia sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak negara mengenai DNA atau corak pendekatan yang mungkin sama akan digunakan Garrido mengemudi skuad Harimau Muda itu menuju Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, Garrido telah mengenali dengan baik pemain selain sudah berada dalam sistem B-23 yang memudahkannya untuk melakukan penambahbaikkan.

"Mungkin itu (akan guna pendekatan seperti Elavarasan) yang dilihat oleh semua orang. Saya yakin setiap jurulatih ada DNA dia yang tersendiri.

"Namun, dalam bola sepak ini, tidak ada banyak yang berubah, konsep bertahan dan menyerang itu tetap sama.

"Mungkin corak pendekatan daripada segi latihan taktikal berbeza. Kita tidak boleh mengambil kira dia dulu berada di bawah Elavarasan, maka pendekatan yang digunakan akan sama," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Garrido akan menjadi pengendali baru skuad B-23 negara menggantikan Elavarasan.

Elavarasan melepaskan jawatan berkenaan pada 18 September lalu untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga berpengalaman sebagai ketua unit pencari bakat bagi FC Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020.

Selepas itu, dia menjadi Ketua Bola Sepak Remaja Profesional (B-23) bagi kelab Granada FC di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.

Dalam masa sama, Wan Jamak percaya Garrido perlu merangka perancangan segera untuk mengukuhkan Harimau Muda dalam mengharungi kempen pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan.

"Tempoh sekarang sehingga April bukan satu tempoh yang lama kerana semua pemain ini bukan boleh dikumpul sepanjang masa.

"Sebab itu kena ada perancangan segera diatur untuk membolehkan pasukan B-23 mendapat peluang bersama dan Garrido juga mudah menerapkan pendekatannya untuk difahami oleh pemain," katanya.

--Sinar Harian