Gagal gegar Asia Tenggara, apa yang tidak kena dengan Harimau Muda?
October 29, 2024 08:07 MYT
Kegagalan skuad remaja negara meraih tiket ke Pusingan Akhir Piala Asia B-17 2025 mencetuskan persoalan bagai ada sesuatu yang tidak kena dengan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
Biarpun pasukan B-17 negara itu dibarisi pemain terbaik dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Johor Darul Ta'zim (JDT), namun keputusan yang diraih dalam saingan kelayakan Kumpulan H di Vientiane, Laos amat mengecewakan.
Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua selepas tewas 0-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan terikat 2-2 dengan Laos untuk sekadar mengutip satu mata.
Carta Kedudukan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia B-17 2025 * Selepas Hari Perlawanan 3 pada Ahad, 27 Oktober 2024 ▶️ Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-17 2025#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/xHlhntfcbK
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 27, 2024
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli melihat bagai ada lompong yang perlu ditambah baik kerana kesemua pemain yang dipilih menyertai AMD adalah dalam kalangan yang terbaik dari seluruh negara.
Beliau berkata, AMD memiliki kelompok pemain yang ramai bermula dari usia 12 hingga 17 tahun dan mereka menjalani latihan di pusat tersebut antara tiga hingga lima tahun.
Malah tambahnya, mereka boleh dilabel sebagai pemain remaja profesional menerusi corak latihan dan pendedahan yang diberikan di akademik tersebut.
"Mereka yang menyertai skuad B-17 ini adalah antara yang terbaik dalam kalangan terbaik. Mereka datang dari seluruh negara melalui pemilihan yang ketat.
"Di sebalik keputusan itu timbul persoalan, apa yang tidak kena. Apa lagi yang perlu dilakukan. Apa kelemahan dan kesilapan sehinggakan di peringkat Asia Tenggara pun kita tidak mampu untuk meraih kemenangan," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Di sebalik kelompongan itu, Pekan melihat aspek kejurulatihan perlu diteliti dan dinilai semula kerana jika ada kekurangan ia perlu diperkasa serta ditambah baik.
Beliau juga sedar kekangan kewangan mungkin menjadi antara faktor untuk melantik jurulatih berkualiti mengendali pasukan remaja di akademi tersebut.
Keputusan Masa Penuh Kelayakan Piala Asia B-17 2025 | Ahad, 27 Oktober 2024 MALAYSIA ?? 2-2 ?? LAOS ⚽️ Arayyan Hakeem 11' Muhammad Naqif Firhad 66' ⚽️ Palindeth Phettakounh 21' Phayak Siphanom 33' (P)#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/B1tNkCbFZM
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 27, 2024
Jurulatih hebat dan mempunyai lesen profesional kelas A mungkin tidak berminat melatih pemain di AMD kerana bagi mereka lebih baik mengendalikan kelab berpeluang meraih pendapatan lebih lumayan. Semua perkara ini perlu dinilai dan dilihat semula," katanya.
Menurut Pekan, aspek persediaan dan pendedahan pasukan di peringkat tertinggi termasuk pertandingan di luar negara juga perlu diteliti adakah ia mencukupi atau sebaliknya.
"Bermain dalam liga tempatan, mereka boleh menang, namun apabila bersaing di luar negara seperti kejohanan Asia, skuad muda negara sukar untuk menang dengan Thailand dan Vietnam. Malah dengan Laos pun cuma mampu seri," katanya.
Beliau menambah, begitu juga dengan aspek fizikal, mental dan kecergasan selain faktor pemakanan yang juga merupakan elemen penting untuk membentuk pemain berkualiti.
"Kita lihat fizikal pemain Korea Selatan dan Jepun di peringkat remaja serta universiti. Otot dan tubuh mereka sasa berbanding pemain kita," katanya. - Sinar Harian