FAM lantik jurulatih Thailand kendali skuad futsal negara

Ammar Hakim
August 7, 2023 19:56 MYT
Skuad futsal Harimau Malaya menggunakan sentuhan jurulatih dari Thailand bagi menghadapi kelayakan Piala Asia AFC di Uzbekistan Oktober ini.
Ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Rakphol Sainetngam sebagai ketua jurulatih baharu yangi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chiew Chun Yong.
Langkah ini menyaksikan Rakphol muncul ketua jurulatih asing keempat selepas Vic Hermans pada 1996, diikuti Silvio Machado dan Marcelo Serpa yang bertugas sehingga 2017.
Rakphol hadir dengan reputasi baik dan pengalaman mengendali kelab gergasi Thailand, Bluewave Chonburi untuk menjadi juara enam kali berturut-berturut selain pencapaian cemerlang membimbing skuad kebangsaan, antaranya layak ke pusingan 16 terbaik di Piala Dunia Futsal 2021.
Pengerusi Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail berkata, Rakphol akan memulakan tugas pertamanya pada 10 September dalam persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 yang akan berlangsung dari 7 hingga 11 Oktober 2023.
“Diharapkan dengan kehadiran Rakphol sebagai ketua jurulatih akan memberi impak dan kejayaan yang baik kepada pembangunan futsal di Malaysia dan juga kepada pasukan kebangsaan," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin.
#FAM #Malaysia #Futsal
;