EPL: Kovacic dedikasi dua gol Manchester City buat bakal anaknya

Muzaffar Musa
October 6, 2024 10:00 MYT
MANCHESTER CITY 3 FULHAM 2
Mateo Kovacic mendedikasikan dua jaringannya buat anaknya yang bakal lahir ketika menjadi wira kemenangan Manchester City menewaskan Fulham 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad lewat malam tadi.
Kovacic menjaringkan satu gol dalam setiap separuh masa untuk memastikan kebangkitan City selepas pasukan bimbingan Pep Guardiola itu ketinggalan gara-gara jaringan pembukaan Andreas Pereira buat Fulham pada minit ke-26.
Kemenangan itu juga menyaksikan City terus memberikan tekanan buat pendahulu EPL, Liverpool, yang hanya dibezakan satu mata.
Pemain kebangsaan Croatia itu melakukan percubaan yang terbias ke gawang lawan pada minit ke-32 untuk menyamakan kedudukan sebelum meletakkan City di depan dengan penyudah dari jarak 20 ela selepas dua minit babak kedua bersambung.
"Ia amat bermakna kerana isteri saya sedang mengandung, jadi ia amat hebat untuk dapat menjaringkan gol buat si kecil ini," katanya selepas perlawanan itu.
"Ia sentiasa bukan mudah untuk bermain dalam EPL dan hari ini, kami menunjukkan perwatakan yang hebat.
"Kami menguasai sejak awal permainan tetapi tidak dapat menjaringkan gol, dibolosi dan kemudian bangkit dengan segera.
"Pada akhirnya, kami memenangi perlawanan ini. Ia perlawanan yang sukar berdepan lawan yang sedang berada di prestasi terbaik.
"Jadi, amat bagus untuk dapat meneruskan rentak kemenangan," katanya.
#bola sepak #Manchester City #Fulham #EPL #Liga Perdana Inggeris #Mateo Kovacic