MANCHESTER UNITID 2 BRENTFORD 1

Meskipun berjaya memenangi semula perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), ketua jurulatih, Erik ten Hag, menegaskan bahawa jaringan pembukaan Brentford adalah tidak adil sebelum kembali berada di depan.


Sebaliknya jaringan tersebut menjadi pembakar semangat anak-anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit melakar kemenangan ketiga mereka musim ini di Old Trafford, semalam.

Alejandro Garnacho dan Rasmus Hojlund menjadi wira The Red Devils untuk meraih tiga mata penuh di halaman sendiri selepas menguasai keseluruhan permainan dalam babak kedua aksi tersebut.

Kontroversi berlaku di mana Matthijs de Ligt diarahkan keluar bagi menerima rawatan susulan mengalami pendarahan di kepalanya akibat perlanggaran daripada Kevin Schade.



Ekoran insiden tersebut, United dibolosi ketika sepakan penjuru Brentford menyaksikan Ethan Pinnock menanduk masuk gol pembukaan pada masa kecederaan ketika separuh masa pertama.

Walaupun peraturan mengatakan pemain tidak dibenarkan meneruskan aksi semasa berdarah, Ten Hag berasa marah dengan pengadil, Samuel Barrott, yang meminta pertahanan Belanda itu meninggalkan padang.

"Kami tidak tahu mengapa pengadil membawa salah seorang pemain kami keluar dari padang dalam saat genting seperti itu.

"Ia adalah darah kering -- Ia pernah berlaku sebelum ini.

"Sudah pasti Brentford mengambil peluang tersebut untuk berada di depan," katanya selepas perlawanan.

Bagaimanapun, bekas pengendali Ajax itu memuji barisan pemain yang berjaya pulih daripada kelekaan demi mendapatkan kemenangan yang dicari-cari.

"Kami gembira dapat kembali meraih kejayaan sambil berfikir ia adalah aksi yang menyeronokkan terutamanya melihat pengadil melepaskan gol yang tidak adil kepada kami.

"Semua orang marah, namun kami jadikannya sebagai pembakar semangat untuk bermula semula dengan baik pada separuh masa kedua," tambahnya.