Pemain Hong Kong, Philip Chan Siu Kwan, menjaringkan gol ke-1,000 dalam sejarah penganjuran Piala Asia malam tadi tetapi pasukannya tewas 1-3 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar malam tadi.

Chan menjaringkan gol penyamaan hanya empat minit selepas babak kedua bersambung selepas Sultan Adil membuka jaringan buat UAE menerusi sepakan penalti pada 11 minit terakhir babak pertama.

Bagaimanapun, UAE hanya memerlukan tiga minit untuk kembali di depan menerusi penyudah Zayed Sultan.

Pemain gantian, Yahya Al Ghassani, kemudian menjaringkan satu lagi gol buat UAE dalam waktu kecederaan, sekali gus mengesahkan kekalahan pasukan di ranking terendah edisi kali ini -- Hong Kong berada di tangga ke-150 ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).