Berettini saran rakyat Itali beli TV baru sempena hujung minggu istimewa

Muzaffar Musa
July 10, 2021 11:49 MYT
Matteo Berrettini menyarankan seluruh rakan senegaranya untuk membeli televisyen baru sempena hujung minggu istimewa, di mana dia akan beraksi dalam final Kejohanan Tenis Wimbledon sebelum Itali berdepan England dalam final Euro 2020.
Berrettini akan menjadi pemain perseorangan Itali pertama beraksi di pentas akhir Wimbledon apabila turun menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic -- yang memburu gelaran grand slamnya yang ke-20 -- di All England Club hujung minggu ini.
Di London Utara pula, Itali akan berusaha untuk mengecewakan England di Stadium Wembley dengan menjulang trofi Euro 2020, tiga tahun selepas gagal layak ke Piala Dunia.
Ia menyaksikan rakyat Itali dapat menyaksikan dua final luar biasa melibatkan negara mereka dan selepas menewaskan Hubert Hurkacz dalam separuh akhir awal pagi tadi, Berrettini berkata: "Saya akan memberitahu mereka untuk membeli TV baru yang lebih cantik jika mereka belum ada kerana saya fikir ia akan menjadi hujung minggu yang paling istimewa buat kami semua.
"Ia sesuatu yang gila untuk dipercayai, contohnya dalam tenis, ia tidak pernah berlaku (di Wimbledon). Jadi, ia adalah sesuatu yang tidak pernah sesiapa jangkakan, terutama saya.
"Kemudian dalam bola sepak, maksud saya kerana kami tidak layak ke Piala Dunia, jadi dengan tugas yang mereka lakukan, dengan usaha keras mereka, usaha yang mereka berikan, saya fikir mereka memang selayaknya berada di final.
"Buat warga Itali, adakah ia akan menjadi hujung minggu yang sukar? Tidak tetapi saya fikir kami layak untuk mendapatkannya.
"Ia akan menjadi hari yang hebat, hari yang hebat buat sukan.
"Saya amat gembira kerana di samping bola sepak, tenis juga kini adalah sukan terbesar di Itali," katanya.
#bola sepak #Italy #ATP #Tenis #Grand Slam #Matteo Berrettini #EURO 2020 #Kejohanan Tenis Wimbledon
;