Baru dipecat, Alex Ferguson pilih ke Aberdeen berbanding Manchester United

Muzaffar Musa
October 21, 2024 10:29 MYT
Alex Ferguson memilih untuk menonton bekas kelabnya Aberdeen malam semalam, tidak sampai seminggu selepas kontraknya sebagai duta Manchester United ditamatkan.
Ferguson, yang memenangi 28 trofi utama sepanjang menjadi pengurus United, merupakan duta global kelab itu sejak bersara pada 2013.
Bagaimanapun, dia dipecat daripada peranan itu atas usaha kelab berkenaan mengurangkan kos operasi.
Dilaporkan, Ferguson, yang kerap menghadiri perlawanan United sejak bersara, mempunyai perancangan tersendiri untuk tidak menyaksikan perlawanan The Red Devils menentang Brentford di Old Trafford.
Dia kelihatan gembira di Celtic Park di Glasgow dengan menonton Celtic melayani kunjungan bekas kelabnya, Aberdeen, dalam saingan Liga Scotland.
Ferguson memenangi 10 trofi utama sebagai pengurus Aberdeen sebelum meninggalkannya untuk menyertai United pada 1986.
Aberdeen menikmati permulaan cemerlang musim ini dengan memenangi semua 13 perlawanan pertama sebelum bertemu Celtic.
Bagaimanapun, rekod itu berakhir pada hari Sabtu lalu, di mana Aberdeen terikat 2-2 selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol.
#bola sepak #Manchester United #Alex Ferguson #Aberdeen #Liga Perdana Inggeris
;