ACT Wanita 2024: Malaysia dihimpit kekalahan kedua bertemu China
Najmi Iman
November 12, 2024 20:10 MYT
November 12, 2024 20:10 MYT
Skuad hoki wanita negara sekali lagi terpaksa menelan perit apabila tewas dalam perlawanan kedua bertemu China dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024, sebentar tadi.
Aksi kedua itu menyaksikan China membenam Malaysia 5-0 di Rajgir, Bihar, India.
Yu Anhui terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ke-12 dan tiada tambahan jaringan dalam separuh masa pertama.
Memasuki suku ketiga, Tan Jinzhuang menggandankan kelebihan buat China apabila pukulan sudut penaltinya berjaya menembusi gawang negara.
Berselang lapan minit kemudian, giliran Wang Lihang pula menambah derita skuad kendalian Nasihin Nubli selepas kesilapan menghadiakn pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan ternyata membunuh semangat para pemain.
Tan Jinzhuang menambah koleksi gol peribadi tatkala melengkapkan pukulan sudut penalti ketiga untuk gol 4-0.
Pada minit ke-57, Hao Guoting menutup aksi dengan jaringan kelima China, sekali gus mencatatkan kekalahan kedua buat skuad negara dalam kempen ketika ini.